Riba Menjatuhkan Ekonomi Umat Islam

Friday, February 19, 2010
By: Zawani Husna Binti Mohd Narazian (Wani)
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Muamalat) IKIP_UUM
Prinsip asas sistem kewangan Islam adalah berdasarkan syariah. Ciri-ciri khasnya ialah; Pertama: tidak mengamalkan riba. Kedua: Adanya kontrak jual beli. Ketiga: Barangan jual beli adalah halal dan keempat : menjauhi perniagaan akad jual beli yang meragukan. Sesungguhnya Allah S.W.T secara tegas dan jelas menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah, ayat 275:

Maksudnya: "Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya".

Ketika mengulas lanjut tentang pengharaman riba ini, Rasulullah S.A.W bersabda:

"عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ، اَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لَعَنَ اكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَكَاتِبَهُ."

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Masu’d bahawasanya Rasulullah S.A.W melaknat pemakan riba, yang memberi makan orang lain dengan riba, dua saksinya, dan pencatatnya". (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Pensyariatan sistem kewangan Islam mempunyai matlamat dan hikmah yang besar iaitu; Pertama: Mengelak pihak tertentu mengaut keuntungan mudah daripada golongan yang dhaif. Kedua: Mewujudkan kerjasama dan persaudaraan serta tolong menolong antara golongan kaya dengan golongan miskin. Dan ketiga: Mengelak dari mengambil harta tanpa ada gantian.

MUSLIMIN YANG DIHORMATI SEKALIAN
Berdasarkan ciri-ciri konsep negara Islam seperti yang dinyatakan oleh Muhammad Abu Zuhroh, seorang ulama Mesir, maka Malaysia adalah tergolong sebagai sebuah negara Islam. Dalam usaha mengisi tuntutan negara Islam ini, maka salah satu agenda besar negara kita ialah melaksanakan sistem kewangan Islam dalam pengurusan ekonomi negara dan dalam kehidupan harian masyarakat Islam. Dalam melaksanakan sistem tersebut negara kita mengambil pendekatan secara berperingkat-peringkat dan beransur-ansur, selaras dengan kemampuan negara dan kemaslahatan agama, bangsa dan budaya yang wujud di negara ini.

Namun demikian, kita amat bersyukur kerana sehingga kini sistem kewangan Islam berkembang pesat di negara kita seiring dengan sistem kewangan konvensional. Pada masa ini beberapa institusi kewangan Islam seperti Lembaga Tabung Haji, Bank Islam Malaysia, Bank Muamalat Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YAPEIM), Syarikat Takaful Nasional, Syarikat Takaful Malaysia dan Syarikat Takaful Ikhlas sedang beroperasi dengan memberangsangkan.

Bagi memastikan setiap urus niaga dan aktiviti institusi kewangan Islam menepati tuntutan syariah, maka kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Syariah yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia. Keahlian Jawatankuasa Syariah ini terdiri daripada ulama dan pakar-pakar kewangan Islam. Selain daripada itu, institusi kewangan sendiri juga menubuhkan Panel Syariahnya bagi menentukan sistem perbankan dan kewangan Islam selari dengan syariat Islam.Seiring dengan perkembangan pesat sistem kewangan Islam di Malaysia, maka insya Allah Malaysia berpotensi menjadi sebagai hab atau pangkalan utama pusat sistem kewangan Islam di rantau ini.

Satu lagi perkara yang menarik ialah kajian menunjukkan bahawa sistem kewangan Islam di negara ini bukan sahaja memenuhi keperluan rakyat yang beragama Islam, malah rakyat yang bukan bergama Islam turut mengambil manfaat. Sebagai contoh, Public Bank Berhad yang merupakan bank yang dimiliki oleh kaum Cina dan sebahagian besar pelanggannya juga adalah masyarakat Cina, telah lama menyertai skim Perbankan Islam dengan menawar produk dan perkhidmatan Perbankan Islam.

Sambutan hebat terhadap industri kewangan Islam bukan sahaja dapat dilihat dari aspek langganan terhadap produk dan perkhidmatan kewangan Islam, malah ia juga mencakupi aspek pertumbuhan pengajian di bidang kewangan Islam. Sebagai contoh Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) Kuala Lumpur yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia telah menganjurkan Program Pentauliahan Profesional Kewangan Islam (Certified Islamic Finance Profesional -CIFP). Program tersebut mendapat sambutan masyarakat bukan Islam. 11 % daripada pelajar bagi program tersebut adalah pelajar bukan Islam. Ini menunjukkan sambutan yang diberikan oleh masyarakat bukan Islam kepada bidang pengajian kewangan Islam adalah amat menggalakkan.

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH
Umat Islam di Malaysia umumnya mengambil berat soal halal dan haram dalam isu pemakanan. Rata-rata umat Islam hari ini prihatin terhadap makanan yang dimakannya agar tidak mengandungi elemen-elemen haram yang ditegah oleh syarak dan menjejaskan keberkatan. Namun satu persoalan yang perlu diberi perhatian ialah apakah penglibatan itu memadai sekadar mengambil berat tentang barangan makanan bertanda halal tetapi wang yang digunakan untuk membelinya masih lagi bersumberkan perolehan yang haram? Sejauh manakah kesedaran persoalan halal dan haram ini turut dikaitkan dengan sumber pendapatan yang diperolehi?

Bagaimanapun terdapat segelintir umat Islam lebih memperhitungkan soal barangan berlabel halal tetapi tidak mengambil berat tentang kehalalan sumber ekonomi dan kewangan yang diperolehi. Berdasarkan keadaan ini, mereka secara sengaja mengumpul pendapatan dan kekayaan daripada pelbagai aktiviti yang ditegah oleh syarak seperti menerima rasuah, pecah amanah, memeras ugut, merompak, melacur, menjadi GRO dan sebagainya.

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH
Islam bukan hanya menuntut agar makanan dan barangan mesti yang halal, tetapi hakikatnya menuntut agar sumber ekonomi dan kewangan juga mestilah halal. Justeru itu sebarang sumber pendapatan yang diperolehi dari kegiatan yang tidak halal amatlah ditegah dan dilaknat serta dihilangkan keberkatannya.

Allah S.W.T.memberi peringatan di dalam surah al-Baqarah, ayat 278 dan 279:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman!Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan(jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang )itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.Oleh itu, kalau kamu tidak juga melupakan(perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasulnya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa".
Mengakhiri khutbah, mimbar yang mulia ini menyeru semua institusi kewangan Islam agar memaksimumkan perkhidmatan secara lebih berkualiti yang dapat memenuhi kehendak pelanggan, memelihara amanah dan meningkatkan kecekapan agar selari dengan tuntutan ajaran Islam. Dalam hal yang sama, mimbar ini juga menyeru seluruh umat Islam agar bersegera mentaati perintah Allah S.W.T. dengan memastikan pengurusan kewangan, sumber rezeki dan makanan yang digunakan untuk diri sendiri dan keluarga adalah dari sumber yang halal. Mudah-mudahan kehidupan keluarga kita dan masyarakat Islam beroleh keberkatan dan menjadi insan soleh.

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ،

Maksudnya: "Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan".
(Surah al-A’raf ayat : 96)

0 comments:

Post a Comment

Followers

.: Alunan Sufi :.