Kenapa Masyarakat Islam Perlu Kaya

Saturday, February 20, 2010

By: Siti Afiqah Binti Safiee (iqah)

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Muamalat) IKIP_UUM

KAYA BUKAN SEKADAR KEINGINAN TETAPI SATU KEPERLUAN

Di sini ingin saya berkongsi dengan anda berkenaan dengan keperluan kita untuk menjadi KAYA..

Muslimin/muslimat yang dimuliakan…

Kaya itu bukan hanya satu keinginan. Ini kerana apabila kita meletakkan kekayaan itu pada paksi keinginan semata-mata dikhuatiri ianya akan menjerumuskan kita kepada nafsu yang banyak pancaroba, muslihat dan penipuan. Lihat sahaja betapa ramai manusia yang kaya hari ini menjadi tamak haloba kerana semata-mata meletakkan kekayaan itu sebagai keinginan demi mencapai cita-cita dan impian yang mereka inginkan, mereka sanggup lakukan apa sahaja. Menindas, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, menipu harga dan timbangan, menyorok bekalan, dan pelbagai lagi telah menjadi lumrah bagi mereka yang ingin menempah tiket mudah ke jalan kekayaan. Inilah bahana akibatnya jika ramai dikalangan kita masiih silap dalam meletakkan perkara kekayaan itu atas dorongan dan keinginan semata-mata untuk menjadi kaya.

Untuk pengetahuan, kekayaan itu menjadi suatu keperluan sehingga ia menjadi perkara yang mesti dan tidak berubah sebagaimana kita perlu menunaikan ibadat, makan, minum, dan meluangkan masa untuk berehat atau tidur.

Pembaca yang dimuliakan,

Kekayaan sebenar bukanlah terletak pada kekayaan harta semata-mata tetapi juga merangkumi kekayaan dari aspek-aspek lain. Orang kaya yang sebenarnya adalah orang yang menjalankan perintah Allah sehingga kekayaan mereka berkat dan bermanfaat bagi orang ramai. Mereka membelanjakannya untuk infaq ke jalan Allah, bersedekah, mengeluarkan zakat, dan membantu hamba Allah yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama. Justeru itu, kaya adalah perlu dan wajib bagi kita semua untuk gunakannya supaya menjadi sebaik-baik manusia yang bermanfaat bagi orang lain.

Sahabat pada zaman Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar Sidiq seorang yang kaya-raya, tetapi dia menyerahkan hartanya bagi perjuangan Islam. Abdurrahman bin Auf yang boleh diibaratkan sebagai seorang konglomerat yang penuh dengan strategi perniagaan dan tidak takut miskin juga menyumbangkan banyak harta bagi tujuan yang sama. Meraka sanggup berusaha mencari kekayaan dan dalam masa yang sama menyerahkan segala-galanya bukan untuk kepentingan diri sendiri? Inilah bukti bahawasanya mereka tidak meletakkan kekayaan itu sebagai satu keinginan buat mereka sebaliknya satu KEPERLUAN untuk membantu orang lain. Mereka ini adalah golongan kaya yang memilih untuk berniaga dengan Allah hingga mereka tidak boleh dijual beli oleh kehidupan dunia.

Mereka dengan mudah mengagihkan SELURUH kekayaan mereka dan dalam masa yang sama memulakan usaha semula dari awal. Menarik dan luar biasa bukan? Apakah masih ada orang kaya sebagini pada zaman dan era ekonomi kapitalis sekarang?

Salah satu punca kelemahan ekonomi dunia yang dapat kita lihat sekarang adalah orang kaya bertambah kaya dan yang miskin tetap miskin. Akibatnya, berlaku kemerosotan ekonomi yang membawa kepada kekacauan , huru hara, tunjuk perasaan dan kebuluran. Tiada keseimbangan ekonomi berlaku.

Dalam Islam, seseorang muslim itu disarankan mengeluarkan zakat bagi menyuburkan harta dan dalam masa yang sama dapat menyeimbangkan ekonomi. Dengan adanya zakat, jurang ekonomi di antara golongan kaya dan miskin dapat diseimbangkan. Bagi mereka yang meletakkan kekayaan itu berlandaskan keinginan, sudah pasti mereka tidak sanggup untuk mengeluarkan zakat kerana pada mereka ianya akan mengurangkan harta kekayaan mereka.

Sebaliknya mereka yang meletakkan kekayaan sebagai satu keperluan sudah pasti tidak teragak-agak untuk menyumbangkan harta kekayaan mereka ke jalan Allah. Bagi mereka itulah tujuan sebenar mereka mencari harta kekayaan. Keperluan untuk dibelanjakan ke jalan yang dituntut dan diredhai Allah.

Carilah kekayaan itu sebagaimana anda berusaha memenuhi keperluan hidup anda, dan janganlah meletakkan matlamat kekayaan itu sekadar keinginan semata-mata..

Wallahu’alam..

0 comments:

Post a Comment

Followers

.: Alunan Sufi :.