Perbankan Islam, Masa Depan Perbankan Dunia

Friday, February 19, 2010

By: Mardhiah Binti Hayom (Mar)
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Muamalat) IKIP_UUM


Tajuk kali ini juga kombinasi daripada tajuk entry sebelum ini yang bertajuk "Sistem Perbankan Islam Satu Pilihan". UMUM menyedari krisis ekonomi yang melanda Amerika Syarikat (AS) kini menjejaskan dan mempengaruhi pasaran saham dan ekonomi dunia secara langsung.Pasaran saham Malaysia juga tidak terlepas daripada tempias ini apabila pelabur dilihat berhati-hati menjalankan urus niaga masing-masing kerana khuatir dengan keadaan yang tidak menentu kini.

Ini sedikit sebanyak menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta keyakinan para pelabur asing untuk menjalankan perniagan mereka di sini. Pun begitu, sekurang-kurangnya ia lebih baik berbanding keadaan satu ketika dahulu apabila ekonomi negara ini banyak bergantung dengan keadaan pasaran AS.

Meskipun AS masih kekal sebagai pelabur asing terbesar di sini, Malaysia kini mula mengalih tumpuannya ke pasaran-pasaran bukan tradisionalnya seperti Amerika Latin, Afrika, Rusia dan China selain Timur tengah dan negara-negara Islam yang kini semakin berkembang ekonominya.Dengan tumpuan yang semakin banyak diberikan kepada negara-negara Islam, keadaan ekonomi negara dilihat semakin tidak bergantung kepada AS, sekaligus mengurangkan kesan krisis sub prima yang dihadapi oleh negara itu sekarang.

Disebalik semua krisis yang berlaku ini, amat menarik untuk mengetahui bahawa pasaran perbankan Islam tidak menerima kesan akibatnya, malah dijangkakan untuk berkembang sebanyak 20 peratus tahun 2008 ini.Ia bakal menjadi faktor penarik yang membolehkannya untuk bertapak di pasaran selain negara-negara Islam seperti kebiasannya, iaitu di Eropah dan Amerika.

Masyarakat umum juga sudah mula kurang bersetuju dengan dasar-dasar tidak “mesra pelanggan” yang diamalkan oleh bank-bank perdagangan konvensional ini. Kadar faedah yang terlalu tinggi misalnya amat menekan peminjam. Contoh terbaik ialah apa yang berlaku di AS sekarang.Pakar-pakar beranggapan krisis di AS disebabkan pemberian pinjaman secara berlebihan, kepada mereka yang tidak mampu membayarnya. Apabila terdapat terlalu banyak peminjam yang tidak mahu melunaskan bayaran masing-masing, mereka yang masih belum meminjam tetapi berhasrat untuk berbuat demikian mengahadapi kesukaran melakukannya kerana bank kini mula mengetatkan syarat.Kesannya amat dirasai oleh pengguna di negara berkenaan, terutamanya kepada mereka yang baru pertama kali hendak membeli dan membuat pinjaman perumahan.

TAHAP KESEDARAN TINGGI
Pengguna kini sudah mula bijak dalam memilih produk yang akan dibeli mereka. Sikap ini bukan sahaja meliputi barangan keperluan harian seperti makanan, pakaian, pengangkutan dan sebagainya, malah juga perkara seperti pinjaman perumahan, peribadi dan sebagainya. Dengan syarat-syarat yang terlalu ketat, dan tidak telus, penguna sebelum ini, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana masih terpaksa meminjam walaupun mereka tidak mampu.

Kesemua faktor ini menjadi tarikan utama kenapa lebih ramai pengguna di seluruh dunia kini mula memilih perbankan Islam.Pun begitu tidak dinafikan, perbankan Islam masih lagi kurang difahami, tidak mendapat pendedahan secukupnya dengan baik serta dinilai kurang kompetitif berbanding sistem perbankan konvensional, sedangkan hakikatnya terbukti sekarang bukan sedemikian.
NILAI PASARAN BESAR
Perbankan Islam yang kini mempunyai pasaran sekitar US1 trilion (RM3.1 trilion), merupakan antara sektor perbankan yang paling pesat membangun di peringkat antarabangsa.

Ciri utama yang membezakan perbankan Islam dengan sistem konvensional ialah tiadanya caj faedah, dan keuntungan yang didapati bukannya hasil daripada yang dilaburkan dalam bidang haram seperti arak, judi, pornografi dan sebagainya.Bagi Malaysia pula, sektor ini dan takaful Islam berkembang antara 19 dan 25 peratus dalam tempoh enam tahun lepas.Malaysia juga mempunyai aset perbankan Islam sekitar RM122 bilion dan RM6.6 bilion bagi takaful, menjadikannya antara yang terbesar di dunia.

Tujuh puluh peratus bon Islam pasaran global dan 40 peratus unit saham amanah Islam juga berada di Malaysia.Ramai yang tidak sedar bahawa sistem perbankan Islam negara ini kerap dijadikan tanda aras bagi menentukan pelbagai spesifikasi, kemajuan dan prosedur sistem perbankan seumpama itu di seluruh dunia.Apa yang dilaksanakan di Malaysia juga dijadikan rujukan serta kajian kes oleh beberapa laman web kewangan seperti gtNews selain mendapat penarafan sangat baik daripada syarikat penganalisa kewangan terkemuka dunia, S&P/Moody´s.

PERTAMBAHAN PENGLIBATAN NEGARA LAIN
Kesedaran tentang bahayanya ketergantungan yang keterlaluan kepada AS juga mula disedari oleh negara-negara lain seperti Indonesia yang turut mula membuka dan mengalih pasarannya kepada kawasan bukan tradisionalnya.Seperti Malaysia, dengan potensinya yang semakin berkembang, republik ini juga mula membuka mata ke arah pelaksanaan sistem perbankan Islam dengan penubuhan Muamalat Bank Indonesia pada 1994.

Negara lain, China umpamanya, turut mengikut jejak langkah beberapa negara Islam untuk mengadakan pasaran perbankan berkenaan di sana. Mereka telah berusaha mendapatkan pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam bidang ini, dengan menghantar delegasi pegawai ke negara ini serta menjemput pakar-pakar kita untuk ke sana sejak tiga tahun lepas.Kawasan yang menjadi sasaran mereka untuk pasaran ini ialah Shenyang, bandar terbesar di utara negara berkenaan. Sejumlah US3.43 bilion (RM10.1 bilion) bakal dilaburkan untuk mewujudkan hab perbankan Islam di negara berkenaan. Sekiranya rancangan itu berjaya direalisasikan kelak, Shenyang akan menjadi pusat perbankan Islam pertama di negara tersebut yang mempunyai penduduk seramai 1.3 bilion. Ia juga akan menjadi sebahagian daripada rancangan pembangunan wilayah kewangan kawasan tersebut yang dijadualkan untuk siap menjelang 2010.Seperti China, Afrika Selatan yang telah menghantar delegasi mereka ke Malaysia untuk belajar lebih banyak mengenai sistem ini.

Meskipun negara tersebut mempunyai hanya kira-kira 1 juta penduduk yang menganut agama berkenaan, potensinya amat besar kerana kejayaannya setakat ini yang turut menarik minat golongan bukan Muslim di Malaysia.Bagi kes Afrika Selatan, negara berkenaan yang kini rancak dibangunkan, sudah tentu memerlukan begitu banyak dana bagi tujuan tersebut, dan perbankan Islam dilihat sebagai salah satu cara memperolehinya.

Setakat ini difahamkan, Ambank sudah pun memulakan perbincangan dengan institusi-institusi kewangan negara berkenan bagi memulakan perbankan Islam di sana.Di Eropah, England telah menubuhkan Bank Islam Britain (IBB), sebuah institusi yang mematuhi prinsip syariah sepenuhnya. Ia merupakan bank pertama seumpamanya di benua berkenaan. Meskipun pada mulanya disasarkan untuk komuniti Islam negara berkenan yang berjumlah 2 juta orang, namun ia berjaya menarik perhatian umum kerana kaedah dan prinsipnya yang lebih telus. Apa yang membanggakan ialah, IBB kini menjadi pilihan utama para pelajar luar negara yang menuntut di negara berkenan untuk membuka akaun mereka, baik pelajar Muslim mahubun bukan.Melihat kepada kejayan yang dicapai IBB, sebuah lagi bank di England, Lloyds TSB, kini turut menawarkan pruduk yang berlandaskan syariah. Antara produk mereka ialah akaun semasa, akaun pelajar serta dana amanah yang kesemuanya mematuhi hukum-hukum Islam.

Terbaru April lepas, mereka melancarkan produk perbankan Islam yang direka khusus untuk sektor industri.Malah, kementerian kewangan negara berkenaan juga telah memulakan langkah-langkah bagi memudahkan penawaran lebih banyak pakej-pakej perbankan berlandaskan prinsip Islam di sana.Menurut menteri bertanggungjawab, Edd Balls, ia merupakan contoh baik di mana kerajaan dan institusi swasta di negara tersebut boleh bekerjasama untuk kebaikan pengguna.

Kanada juga telah melakukan perkara yang sama dengan pembukaan beberapa pakej kewangan berasaskan Islam. Bank Of Royal Canada (BRC) misalnya, telah menawarkan saham amanah yang menurut mereka direka khas bagi memenuhi keperluan masyarakat Muslim di negara berkenaan.Menerusi produk ini yang dilancarkan tahun lepas, pendapatan diperolehi menerusi saham-saham memenuhi prinsip syariah yang tersenarai di Index Dow Jones di AS bagi memastikannya berdaya saing.Pelaburan bagi skim ini boleh dimulakan dari hanya CAD5000 (RM15,999).

Dalam konteks yang lebih besar pula, penubuhan “Bank Islam Mega” yang sebelum ini dicadangkan oleh pihak-pihak tertentu, dijangka akan menjadi realiti dalam tempoh enam tahun daripada sekarang.Bank tersebut, yang dinamakan Emaar akan memulakan perniagaan dengan modal berbayar US100 bilion (RM310 bilion), akan beribu pejabat di Bahrain . Tujuan utamanya selain menyokong transaksi perdagangan antarabangsa secara Islam, juga untuk menambah kecairan dalam sektor tersebut.
Ini kerana meskipun mempunyai banyak aset, namun secara amnya, masih kurang bank-bank yang mempunyai modal berbayar dan keupayaan tinggi untuk memberi pinjaman. Sehingga kini, terdapat kira-kira 300 institusi perbankan Islam di seluruh dunia, baik bank ataupun institusi seperti agensi kerajaan namun 25 peratus daripada mereka hanya mempunyai modal berbayar tidak lebih USD 25 juta (RM77.5 juta).

Kesemua ini menjadi bukti dan menyediakan platform terbaik bagi perbankan Islam untuk beroperasi dengan jaya secara global, malah tidak mustahil ia akan menggantikan sistem perbankan konvensional ketika ini sepenuhnya, setidak-tidaknya di negara-negara Islam.

Kejayaan sistem kewangan Islam ini boleh dijadikan contoh kepada lebih banyak pengunaan sistem lain yang juga berasaskan Islam pada masa hadapan. Adalah tidak mustahil untuk melihat lebih banyak perundangan berdasarkan Islam digunakan secara global pada masa akan datang.

sumber : Oleh MD. ZAN SAARI
.

0 comments:

Post a Comment

Followers

.: Alunan Sufi :.