HISBAH SERTA PENGAMALANNYA DI MALAYSIA

Monday, February 22, 2010
by Siti Norhayati binti Yahaya (Hayati)
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Muamalat)IKIP_UUM

Institusi Hisbah Pemangkin kepada kesejahteraan Masyarakat dan Negara
Oleh: Mohd Rumaizuddin Ghazali

Institusi hisbah ini berasal dari Islam. Ini menolak pandangan golongan orientalis seperti Zeidah A. Nacola, dalam buku al-Hisbah wa al-Muhtasib fi al-Islam (hal. 31) yang menyebut bahawa institusi ini diambil dari sistem Rom yang dikenali sebagai Edile Curule atau dari sistem Yunan yang dikenali sebagai Agoronomues. Ini kerana institusi hisbah amat berbeza dengan sistem tersebut. Institusi hisbah berlandaskan kebaikan dan kepentingan umum. Ia juga berteraskan prinsip gesaan kepada perkara kebaikan dan mencegah perkara mungkar. Asas ini merupakan prinsip dalam syariat Islam yang diambil dari al-Qur’an. Lagipun, kaum muslimin di permulaan Islam tidak mengenali sistem-sistem dari Rom dan Yunan dan tidak ada hubungan dengan kedua-dua negara tersebut ketika itu.

Ciri utama institusi hisbah ini mengenai peraturannya meliputi seluruh rakyat jelata tanpa mengira agama, keturunan atau pangkat. Sesungguhnya ketua negara, hakim atau sesiapa yang mempunyai autoriti tidak diberi keistimewaan dan penguasa hisbah berhak mengambil tindakan atas mereka. Tidak ada perbezaan seorang Islam dengan bukan Islam dalam konteks urusniaga malah kedua-dua pihak diminta memenuhi kewajipan masing-masing berdasarkan hukum-hukum dan perjanjian mereka. Oleh itu, tugas utama penguasa hisbah ialah memastikan kehidupan masyarakat tidak tercemar dengan kepercayaan dan amalan yang khurafat dan bida’h.

Dalam tradisi keilmuan Islam, kita dapati terdapat dua aliran dalam membicarakan mengenai hisbah. Aliran pertama tidak membicarakan hisbah secara amali pada zaman mereka. Aliran kedua pula tidak membicarakan hisbah dari segi hukum dan kaedah syarak yang mesti dimiliki oleh setiap pegawai hisbah. Ia hanya membicarakan kegiatan perniagaan, pertukangan dan pengawalan terhadapnya. Oleh itu, kajian tentang hisbah perlu melihat kepada kedua-dua aliran tersebut supaya dapat mengambarkan peranan institusi hisbah secara betul dan tepat.

Al-Ghazali (m.505H) dalam kitab Ihya Ulumiddin juga membicarakan mengenai hisbah yang mana al-Ghazali bukan sahaja membicarakan dari sudut feqah tetapi penekanan diberi dari sudut adab dan akhlak penguasa hisbah. Beliau membahagikan kepada lima cara untuk penguasa hisbah membenteras kemungkaran iaitu melalui penerangan, nasihat serta peringatan yang lembut, mengherdik kata-kata keras yang boleh menyedarkan, mencegah dengan tangan dengan serta merta dan memberi ancaman yang menakutkan. ( al-Zubaidi, al-Ithaf al-Sadah al-Mutaqin, 1989. jil. 8, hal. 27)
Hisbah mempunyai peranan yang penting dalam memelihara masyarakat dari segi sosial,ekonomi dan politik. Dalam syariat Islam, hisbah bermaksud menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Suruhan ini merupakan satu tuntutan yang terpenting dalanm ajaran Islam. Dengan sifat demikian, Allah membezakan antara orang mukmin sehingga mereka mendapat kejayaan dan kemenangan di dunia dan di akhirat. Melalui sifat ini juga, ia dapat membersihkan diri dan memelihara agama dari kehancuran seterusnya menambatkan hati-hati orang yang beriman untuk bertolongan dalam perkara kebaikan dan meninggalkan kemungkaran demi kebaikan umat. Ternyata sekali institusi ini telah menonjolkan keadilan sistem pentadbiran Islam dan membuktikan politik Islam adalah sebaik-baiknya dalam membawa kemakmuran sejagat. Hisbah merupakan sistem yang berkembang dalam masyarakat Islam untuk memelihara kepentingan umum. Ia berteraskan kepada firman Allah yang bermaksud : “ kamu adalah sebaik-baik umat yang menyeru ke arah kebajikan, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (ali Imran 104)

Antara tugas hisbah ialah :
•Pegawai hisbah perlu mengawasi sukatan dan timbangan barang.
•Mengawasi peniaga supaya tidak menyembunyikan barang dengan tujuan menaikkan harga.
•Mencegah jual beli yang fasik. Antaranya membeli atas belian saudaranya, menjual ikan dalam sungai atau menjual burung di udara.
•Menyeru orang ramai menghormati masjid dan membasmi bid’ah
•Mengawasi kubur-kubur orang Islam supaya tidak berlaku perbuatan haram ke atas perkuburan tersebut. Umpamanya mencegah wanita daripada meratap di kubur.
•Mencegah daripada penipuan orang tengah yang ingin menjual dengan harga yang mahal.
•Menjaga kesihatan orang ramai dengan menegah minum arak atau memainkan alat-alat hiburan yang boleh melalaikan mereka.

Para ulamak telah menetapkan bahawa orang yang menjadi pegawai hisbah mestilah seorang yang beragama Islam, merdeka, adil, seorang yang tegas dalam hukum hakam agama, mengetahui perkara yang mungkar yang zahir, warak, tingkahlaku yang mulia dan mempunyai kesabaran yang tinggi.

Ibn Taimiyyah menyebut bahawa tugas pemerintah bertujuan mencari keredhaan Tuhan dan meninggikan kalimah Allah. Allah telah menciptakan manusia dengan tujuan tersebut. Pemerintahan Islam bertanggungjawab menggesa kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sama ada dalam bidang yang besar atau kecil seperti hisbah..
Al-Jarsifi mengatakan bahawa institusi hisbah merupakan institusi terpenting kerana ia memerlukan kepada banyak undang-undang dan piagam. Tidak ada institusi yang lebih mulia selepas institusi kehakiman kecuali institusi hisbah kerana ia melaksanakan urusan agama dan mempunyai banyak persamaan dengan institusi kehakiman.

Menurut Imam Mawardi, kegiatan hisbah adalah salah satu dari prinsip agama Islam. Oleh sebab itu para khulafa menjalankan sendiri tugas tersebut kerana kepentingannya yang menyeluruh serta banyaknya pahala daripada kegiatan tersebut. Tetapi malangnya kegiatan ini mula diabaikan oleh pemerintah serta diserahkan kepada pembantu-pembantu yang hanya bertujuan mencari nafkah hidup dan terdedah kepada amalan rasuah. Maka fungsinya mulai lemah dan orang ramai tidak mempedulikannya lagi. Walaupun begitu, ini tidak bererti apabila berlaku kelemahan serta kekurangan di dalam dasarnya maka hukumnya tidak dilaksanakan.

Secara ringkasnya, hisbah merupakan sebahagian daripada sistem pentadbiran Islam yang bertujuan untuk memelihara kepentingan umum. Konsep pelaksanaannya terpulang kepada keadaan semasa. Dalam konteks sekarang, bidang kuasa dalam kawalan harga dan pasar telah ditadbir oleh Kementerian Hal Ehwal Pengguna sementara yang berkaitan dengan urusan agama ditadbir oleh Jabatan Agama. Walaupun begitu, konsep hisbah perlu difahami dengan sebenar supaya ia mengambarkan keadilan agama Islam. Pengwujudan institusi hisbah ialah untuk mengatur dan mentadbir segala urusan kemanusiaan selaras dengan Islam. Ia merupakan badan direktorat penguatkuasaan.

0 comments:

Post a Comment

Followers

.: Alunan Sufi :.