Isu Zakat Wang Simpanan Tabung Haji

Wednesday, March 24, 2010
oleh Norhidayah binti Maskun
Di petik Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net


Soalan
Assalamualaikum Ustaz, Benarkah wang simpanan yang disimpan didalam institusi Islam (contoh Tabung Haji) tidak perlu dikeluarkan zakat kerana telah diuruskan oleh institusi tersebut? Harap dapat penjelasan dari ustaz. Terima kasih dan wassalam Hayatey Baharum

JAWAPAN
wa'alaikumussalamm
Ya, benar, demikian yang disebut di awal-awal ketika penyimpanan dibuat.
Penyimpan memberi izin kepada Tabung Haji (TH) untuk menguruskan zakat simpanannya, justeru tiada zakat lagi perlu dikeluarkan oleh penyimpan.
Hal ini dijawab di dalam web tabung haji dengan jelas dengan ayat berikut :-
Pada masa seseorang menjadi pendeposit TH, pendeposit telah pun memberi kebenaran kepada TH untuk wang simpanannya dikelolakan dan diurus, mengikut undang-undang dan peraturannya. Apabila seseorang pendeposit telah mengisi Borang Butir-butir Peribadi dan Borang Pemegang Amanah, ia merupakan akad izin di antara pendeposit dan TH di mana pendeposit bersetuju menyimpan wangnya di TH dan memberi izin kepada TH untuk menggunakan wang simpananya itu untuk tujuan perniagaan dengan mengharapkan menerima keuntungan.
Berasaskan kepada penerangan di atas, TH membayar zakat perniagaan bagi pihak pendeposit dan dengan demikian pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat simpanan ke atas wang simpanannya di TH selaras dengan fatwa yang dikeluarkan pada 29 Februari 1980 berkenaan ( Rujuk http://www.tabunghaji.gov.my/th/TH/THSoalJawabTabungan.htm )

MASALAH MUNGKIN BERBANGKIT
Namun demikian, sedikit masalah Shariah boleh timbul di sini adalah (hal ini juga pernah diberitahu kepada saya oleh Dato' Dr Haron Din pada tahun 2006), berdalilkan kepada hujjah di atas iaitu mandat telah diberi kepada pihak TH, pihak pengurusan TH mengistiharkan bahawa pihak penyimpnan tidak lagi perlu membayar zakat simpanannya. Namun masalahnya adalah aqad perwakilan (wakalah) adalah bersifat ghayru lazim ( iaitu boleh ditamatkan hanya dengan kehendak sebelah pihak tanpa persetujuan pihak yang satu lagi),
Justeru sekiranya pihak penyimpan tiba-tiba menarik semula mandat yang pada asalnya diberikan di awal kontrak tadi, lalu ingin membayar sendiri zakat wang simpanannya dan bukan zakat perniagaan. Dari sudut hukum Islam, penyimpnan berhak membuat keputusan sedemikian. Manakala pihak Tabung Haji tidak lagi mengeluarkan zakat perniagaan bagi pihak penyimpan kerana mandatnya telah ditarik semula. Pihak tbaung haji masih boleh menggunakan wang penyimpan untuk tujuan pelaburan namun, bahagian zakat bagi penyimpan yang ingin mengeluarkan sendiri TIDAK lagi boleh dipaksa.
Jika ia terus tidak diendahkan, ia sememangnya akan menimbulkan masalah dari sudut hukum Shariah kerana ia akan menyebabkan pembayaran zakat tadi jatuh dalam ‘Tasarruf Fudhuli' iaitu satu tindakan yang dibuat oleh seseorang yang lain tanpa mendapat mandat atau wakilan dari yang meminta. Tatkala itu zakatnya dikeluarkan adalah mawquf atau tidak sah selagi tidak dipersetujui oleh penyimpan, malah jika si penyimpan tidak memberikan persetujuannya, pihak Tabung Haji perlulah membayar semula jumlah yang dikeluarkan.
Perlu diingat bahawa zakat adalah hak peribadi yang mesti ditunaikan oleh individu terbabit, justeru itu, sekiranya pihak individu itu tidak lagi ingin mewakilkan pihak Tabung Haji untuk mengeluarkan zakat bagi pihaknya atau membatalkan mandat wakil (wakalah) kepada TH yang pernah diberi di awal kontrak simpanan dibuat. Pihak Tabung Haji seseungguhnya tidak boleh memaksa, apatah lagi mengeluarkan zakat bagi pihak individu penyimpanan tanpa izinnya.
Pada waktu dan keadaan tertentu, para penyimpan berhak untuk menyalurkannya kepada penerima yang diyakini dan dirasakan lebih dikenali dan lebih utama untuk diberikan. Seperti disalurkan kepada adik beradiknya yang miskin dan memerlukan.
Hasil dari ini, saya menyeru agar pihak Tabung Haji meninjau kembali aspek ini agar ia dapat diperbetul dan diperkemaskan. Namun demikian, sekiranya hal ini telah diselesaikan oleh pihak Tabung Haji, saya ucapkan tahniah dan meminta maaf kerana saya tidak mempunyai maklumat terbaru berkenaan sebarang polisi baru tabung haji berkaitan hal zakat wang simpanan penyimpanan ini. Namun saya yakin, tiada sebarang keputusan baru.

Pinjaman Tanpa Faedah,antara Cabaran dan Kebaikan.

Monday, March 1, 2010
By : Nur Baiduri Binti Abdullah ( Rie )
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan ( Muamalat ) IKIP - UUM.

KETIKA keadaan ekonomi yang tidak menentu pelbagai kaedah pinjaman wang dicari oleh pengguna sebagai cara mendapatkan wang pada kadar segera. Selain ceti dan ah long, pajak gadai juga menjadi pilihan. Bezanya, mereka yang ke pajak gadai ialah daripada kalangan individu yang memiliki emas untuk dicagarkan. Sayangnya, niat awal untuk menebus kembali barang yang dicagar mungkin tidak kesampaian menyebabkan ramai yang terpaksa melepaskannya walaupun ia barang berharga yang diwarisi turun-temurun.
Kalau ditanya, mana yang lebih besar pahalanya di antara memberi pinjaman tanpa faedah atau memberi sedeqah, apakah jawapannya?. Secara umumnya para ulama berbeza ijtihad dalam menentukan mana yang lebih baik daripada yang lain. Artikel ini mengupas dengan ringkas tapi padat persoalan tersebut. Semoga dengannya kita akan dapat menentukan keputusan terbaik ketika ingin membantu insan lain.

Menurut sebahagian ulama, pinjaman tanpa faedah adalah lebih utama berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
Hadis 1 :
رأيت لَيْلَةَ أسرى بِي على بَابِ الْجَنَّةِ مَكْتُوبًا الصَّدَقَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا وَالْقَرْضُ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ فقلت يا جِبْرِيلُ ما بَالُ الْقَرْضِ أَفْضَلُ من الصَّدَقَةِ قال لِأَنَّ السَّائِلَ يَسْأَلُ وَعِنْدَهُ وَالْمُسْتَقْرِضُ لَا يَسْتَقْرِضُ إلا من حَاجَةٍ
Maksudnya: "Pada malam aku pergi ke syurga (semasa Israk Mi'raj), aku melihat tertulis di dalam pintu Syurga, "Setiap sumbangan sedeqah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali" lalu aku (Nabi ) bertanya : wahai Jibrail, mengapakah pemberian pinjam lebih mulai daripada sedeqah? Jawab Jibrail : Kerana yang meminta di waktu meminta itu, sedang ia masih memiliki ( mampu), sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjam kecuali benar-benar di kala keperluan." (Riwayat oleh Ibn Majah)

Namun demikian Ajlouni dan Albani menilai hadis ini sebagai lemah. Kelebihan pemberian pinjam ini juga yang disebutkan oleh Al-Jassas di dalam kitab beliau Ahkam al-Quran :

سَمّاهُ اللهُ قَرْضاً تَأكِيْداً ِلاسْتِحْقَاقِ الثَّوَابِ بِهِ؛ إِذْ لاَ يَكُونَ قَرْضاً إِلاّ وَالعِوَضُ مُسْتَحَقٌّ بِه
Ertinya : "Allah menamakannya sebagai qard (pinjam) sebagai penguat kepada perolehan pahala kebaikannya, kerana jika ia bukan qard, maka pemberi pinjam layak mendapat ganjaran (material) darinya"
Selain daripada dalil yang pertama, kumpulan ini juga berpegang kepada hadis Nabi s.a.w :
قَرْضُ الشَّيْءِ خَيْرٌ مِنَ الصَّدَقَةِ
Ertinya : Memberikan pinjaman (tanpa faedah) itu lebih baik dari memberi sedeqah ( Al-Bayhaqi, 5/354)

Demikian tadi ringkasan dari pendapat dua kumpulan ulama semasa membicarakan perihal keutamaan sedeqah atau pinjaman. Setelah melihat kepada hujjah yang dikemukakan dan perbincangan panjang lebar ulama, saya cenderung kepada huraian Imam Ibn Hajar Al-Haythami yang menganjurkan gabungan kedua-dua dalil dengan melihat kepada sebab musabab atau ‘illah yang boleh menjadikannya lebih utama.

Saya kira, cara tersebut lebih menepati maksud sesebuah hukum dalam hal Fiqh Muamalat. Apabila ditinjau dari huraian hadis di atas dan berbekalkan nas-nas lain, jelas bahawa keutamaan sedeqah dan pemberian pinjam berbeza menurut keadaan penerima. Lebih memerlukan di penerima, lebih utama pemberian itu, sama ada ia pinjaman tanpa faedah atau sedeqah. (Al-Inafah, Ibn Hajar Al-Haythami, hlm 157).

Berdasarkan kepada hadis pertama sebelum ini, diberitahu bahawa pinjaman tanpa faedah lebih utama kerana ia diberikan kepada mereka yang sangat berkeperluan berbanding sedeqah. Namun, jika dilihat suasana di zaman ini khususnya, keadaan ini boleh menjadi sebaliknya, penerima sedeqah juga boleh jadi dari kalangan mereka yang sangat miskin dan memerlukan. Manakala penerima pinjaman pula boleh datang dari kalangan mereka yang tidak begitu mendesak keperluannya seperti para usahawan yang sudah kaya raya dengan harta melimpa ruah, tetapi masih memerlukan pinjaman tertentu bagi memperbesarkan perniagaannya.

Justeru, dalam konteks fiqh Muamalat, para ulama mengajar kita untuk tidak terlalu terikat dengan teks sesebuah nas kerana hukum di dalam bab ini lebih perlu merujuk kepada objektif dan sebab musabbabnya. Hasil penelitian itu, kita akan dapati bahawa keutamaan dalam hal sedeqah dan pinjaman ini tertakluk kepada pertindanan pahala dari satu amalan.
Sebagi contoh, apabila pinjaman diberikan kepada mereka yang memerlukan. Ini bermakna selain memberi bantuan pinjaman, kita juga meraih pahala melepaskan saudara dari keadaan sukar dan sempit. Sebagaimana hadis
مَنْ كَشفَ عَن مُسلم , كُربَةً مِن كُرَبِ الدُّتيا , كَشَفَاللهُ عَنهُ كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَوْمَ
القِيامَة , والله في عَوْنِ العَبْدِ مَا دَامَ العَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيْه
Ertinya : Barangsiapa yang melepaskan dari seorang Muslim, satu kesukaran dari kesusahan duniawi, maka Allah swt akan melepaskannya satu kesukaran dari kesukaran akhirat, dan Allah swt akan membantu seseorang hamba selagi mana hamba itu membantu saudaranya" (Riwayat Muslim)

Justeru, sama ada pemberian pinjaman tanpa faedah atau sedeqah, jika ia diberikan kepada mereka yang sangat memerlukan, ganjaran dan keutamaannya menjadi bertambah. Allah swt pula menegaskan, keutamaan sedeqah kepada mereka yang memerlukan dan kesusahan di dalam ayat :
وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ertinya : Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. ( Al-Baqarah : 280 )
Ayat di atas jelas merangkumi dua keadaan;

Pertama : peminjam harta yang ditimpa kesukaran sehingga tidak mampu memulangkan harta yang dipinjam, lalu pemberi pinjam diminta untuk sama ada memberi tangguh tanpa penalty atau menyedeqahkan sahaja jumlah yang dipinjam.

Kedua : Pembeli secara bayaran tangguh yang tidak melangsaikan hutang pembeliannya kerana kesukaran. Tatkala itu, penjual diminta memberi masa untuk pembeli menyelesaikan huatngnya atau menyedeqahkan sebahagian atau semua bayaran yang belum dilangsaikan.

Jelas dapat dilihat dari ayat diatas, bagaimana Allah swt menggalakkan sedeqah kepada mereka yang sangat memerlukan dan ditimpa kesusahan. Justeru, kelebihan kedua-dua amalan itu jika dilihat dari perspektif si penerima, ia bergantung banyak kepada situasi penerima, demikian juga ditegaskan oleh Syeikh Al-Balqini. Manakala jika dilihat keutamaan dua amalan itu dari perspektif pemberi, tentulah pemberi sedeqah lebih utama kerana ia melepaskan hak milik hartanya kepada penerima, berbanding pemberi pinjaman.

sumber: www.zaharuddin.net
kosmo

Followers

.: Alunan Sufi :.