qard hassan sebagai medium bantuan segera ummah

Tuesday, February 23, 2010
By : Nurul Liana Ahamad Azam (Yana)
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Peniagaan (Muamalat) IKIP-UUM
Jangan terjerumus dalam hutang


Firman Allah: Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu (bermuamalat) tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan hendaklah kamu menuliskannya... (Al-Baqarah: 282). Ia adalah ayat yang mengharuskan umat Islam berhutang dalam kegiatan jual-beli.
Bagaimanapun, kita perlu mengatur kehidupan agar tidak dibelenggu dengan masalah hutang, lebih-lebih lagi sehingga membabitkan pinjaman dengan ceti haram atau Ah Long.
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, AHMAD ZAKKI JILAN menemu bual Pengerusi Akademi Nilai Murni Malaysia, Datuk Dr. Syed Othman al-Habshi bagi mengupas isu ini.

UTUSAN: Bagaimanakah konsep berhutang yang ditekankan dalam Islam?
SYED OTHMAN: Dalam Islam hutang disebut ad-dain dan juga qard tetapi ia mesti disertai dengan hasan (baik) iaitu qardul hasan.
Asas penting dalam memberi pinjaman ialah tidak ada riba.
Maknanya, tidak ada pulangan yang lebih daripada pinjaman pokok. Kalau pinjam RM50,000, bayar balik pun RM50,000.
Antara ayat Allah yang menjelaskan qardul hasan ialah: Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik (menafkahkan) hartanya di jalan Allah, maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak, dan Allah menyempit dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan. (Al-Baqarah: 245)
Ayat ini Allah tujukan kepada orang yang ingin menderma untuk fisabilillah. Antara maksud fisabilillah ialah membelanjakan harta kepada saudara terdekat iaitu kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin dan sebagainya.
Semua ini bertujuan untuk peperangan dan membantu orang yang dalam kesusahan. Allah menjanjikan pahala berlipat ganda kepada mereka yang melaksanakannya.
Kita sedia maklum, riba adalah haram. Jadi bagaimanakah pemiutang boleh memperoleh keuntungan hasil kemurahan hati kepada peminjam?
SYED OTHMAN: Pengharaman riba memang jelas dalam Islam menerusi beberapa ayat dalam al-Quran. Sebab itu, apabila berhutang, Islam menggalakkan kita membayar balik lebih daripada pinjaman pokok.
Ini dibuktikan menerusi hadis Rasulullah di mana Baginda ada meminjam seekor unta daripada sahabat. Apabila hendak membayar balik, Baginda menyuruh seorang sahabat lagi mencari unta yang seakan-akan umur dan saiznya sama dengan yang dipinjam tadi. Disebabkan tidak ada yang menepati kriteria itu, maka Baginda mengambil unta yang lebih besar saiznya dan diberikan kepada yang meminjamkan unta itu tadi.
Malah pahala memberi pinjaman kepada orang adalah 16 berbanding sedekah yang mendapat 10 pahala. Ini sebagai ganjaran kerana pemiutang perlu banyak bersabar dan mengetepikan keperluannya apabila memberi pinjaman kepada orang lain.
Apakah perbandingan riba yang wujud pada zaman jahiliah dan sekarang?
SYED OTHMAN: Pada zaman jahiliah, semua pinjaman adalah berasaskan tempoh tertentu. Contohnya, enam bulan. Kalau tidak mampu melunaskan pinjaman masih boleh bertangguh tetapi dikenakan bayaran lebih. Inilah riba pada zaman itu.
Zaman sekarang keadaannya lagi teruk. Ambil atau pinjam sahaja duit di bank, kita sudah dikenakan riba. Jika dibandingkan, riba pada zaman jahiliah adalah lebih baik daripada zaman sekarang iaitu riba an-nasiah (riba yang terhasil kerana menunggu).
Dosa riba ini amat besar antaranya ibarat berzina dengan ibu sendiri dan dalam hadis lain disebutkan seperti berzina sebanyak 36 kali.
Allah juga memberi amaran keras dalam hal ini menerusi firman-Nya, Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya. (Al-Baqarah: 279)
Masih wujud kekeliruan dalam memahami hal riba ini. Bolehkah datuk kupas dengan lanjut?
SYED OTHMAN: Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda, riba itu apabila kamu berjual beli enam jenis barang iaitu emas, perak, kurma, gandum, barli dan garam. Urusniaga mestilah barang yang sama jenis iaitu emas dengan emas atau kurma dengan kurma. Jumlahnya juga mesti sama banyak.
Tetapi jika barang yang berlainan jenis seperti emas dengan perak, kuantitinya boleh berbeza.
Misalnya, jika kita berhutang wang RM100,000 maka jumlah yang mesti dibayar balik ialah RM100,000. Tidak tambah dan tidak berkurang. Tetapi jika tukar dengan barang lain, jumlah boleh berbeza. Contohnya, bank membelikan kita rumah dengan harga RM100,000 dan dijual balik dalam bentuk wang pembayaran tertangguh (Bai’ Bithaman Ajil) sebanyak RM150,000. Ini dibolehkan dan ia bukan riba.
Orang yang dalam kesempitan, adakalanya mereka hilang pertimbangan lalu sanggup meminjam hatta kepada Ah Long. Bagaimana mengatasi perkara ini?
SYED OTHMAN: Allah menegaskan di dalam al-Quran: Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan...(al-Baqarah: 195).
Meminjam daripada Ah Long ini ibarat sengaja mencari nahas. Kita telah dengar pelbagai masalah yang dihadapi oleh peminjam apabila gagal menjelaskan pinjaman mereka.
Dalam masa yang sama, bagi mereka yang berada jangan pula mengambil kesempatan dan makan harta dengan cara yang batil. Ini ditegaskan dalam firman Allah: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil...( Al-Baqarah: 188)
Mengaut keuntungan daripada aktiviti riba adalah termasuk dalam perkara batil. Sebab itu ia perlu dihindari.
Apa pula aspek yang perlu ada kepada si peminjam?
SYED OTHMAN: Pertamanya, mereka perlu amanah. Dengan kata lain janji mesti ditunaikan. Ini kerana pemiutang itu terpaksa mengetepikan kepentingan dirinya untuk membantu si peminjam.
Justeru, amat wajar mereka menepati janji dalam membayar balik hutang. Lebih baik, jika hutang itu dibayar lebih awal daripada tempoh perjanjian. Kalau berjanji bayar hutang dalam tempoh dua bulan, adalah baik jika ia dapat dijelaskan dalam tempoh sebulan.
Bagi penghutang, mereka perlu ingat, jika tidak membayar hutang sudah pasti mereka tidak akan dapat lagi meminjam daripada pemiutang berkenaan.
Seperkara yang perlu diberi perhatian serius ialah roh penghutang tidak diangkat ke langit jika masih belum menjelaskan hutang mereka. Pokoknya, jika berhutang ikhtiar supaya dapat dijelaskan dengan segera. Jangan masa berhutang datang dengan muka manis tetapi bila nak membayar tak nampak batang hidung.
Ingatan juga perlu diberi kepada pengguna kad kredit. Mereka perlu mengamalkan perbelanjaan berhemah untuk mengelak terperangkap dibebani hutang.
Semua ini ada kaitan dengan gaya hidup kita. Apakah panduan dalam bab ini?
SYED OTHMAN: Umat Islam perlu sentiasa bersederhana dalam setiap pekerjaan termasuk berbelanja. Ingatlah pesanan Ibnu Khaldun, kemewahan itu adalah salah satu punca turunnya tingkatan moral. Ini akibat kasihkan dunia dan bencikan akhirat.
Memanglah kemewahan itu lazat dan menjadi idaman semua orang. Islam juga tidak melarang umatnya mencari kekayaan. Ini kerana dengan kekayaan kita boleh mengeluarkan zakat dan infak. Sebab itu, ada hadis Rasulullah yang mengatakan, Abdul Rahman Auf, seorang daripada 10 sahabat yang dijamin masuk syurga itu akan menghadapi hisab yang lebih lama disebabkan jumlah kekayaannya yang banyak walaupun harta itu diperolehi secara halal.
Apa yang dilarang oleh Islam ialah semakin kaya seseorang itu semakin bakhil untuk menunaikan zakat dan infak.
Jadi, apa alternatif kepada golongan yang kesempitan dan memerlukan bantuan kewangan?
SYED OTHMAN: Bagi mereka yang mempunyai emas, pergilah menggadai barang kemas itu di sistem pajak gadai Islam. Cajnya adalah rendah dan pemajak diberi masa enam bulan untuk menuntutnya. Jika selepas sembilan bulan, ia tidak dituntut, maka bank berkenaan akan melelong barang kemas itu untuk mendapatkan semula wang pajakan dan caj perkhidmatan yang dikenakan.
Selepas itu, baki wang tersebut akan dikembalikan kepada si pemajak. Sistem ini jauh lebih selamat daripada meminjam daripada Ah Long. Sebab itu, ramai wanita yang berniaga di Kelantan mempunyai barang kemas yang banyak. Ini memudahkan mereka menggadaikannya bila perlu. Apabila memperoleh keuntungan, mereka akan tebus kembali barang tersebut.
Demikian juga dengan bantuan yang diuruskan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Semua ini adalah alternatif kepada masyarakat Islam yang kesempitan wang dan memerlukan pinjaman.


sumber rujukan : Utusan Online 06/02/2007

Akad didalam sistem muamalat islam

By : Aizam Salmi Ismail (Aizam)
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Peniagaan (Muamalat) IKIP-UUM
Islam amat mengambil berat tentang akad atau majlis kontrak kerana ia menjadi simbol ataupun tanda terdapatnya kerelaan antara pihak-pihak yang terlibat. Kerelaan itulah akhirnya mejadi faktor pengikat di antara kedua pihak yang terlibat. Tanpa akad, kontrak atau ikatan yang sah di antara kedua belah pihak dianggap tidak berlaku. Tanda adanya kerelaan di antara kedua pihak tersebut adalah adanya ijab dan qabul. Ia menjadi tanda bermulanya ikatan kontrak di antara dua belah pihak. Apabila sesuatu kontrak telah belaku maka kedua pihak yang terlibat akan mempunyai hak dan tanggungjawab. Mereka hendaklah memenuhi hak dan melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Dalil yang menunjukkan adanya peraturan ini ialah :
1) Fiman Allah S.W.T yang bermaksud:
“ Melainkan yang halal (kamu makan), bahawa harta benda perniagaan itu, dilakukan rela sama rela di antara kamu,”(Surah An-Nisa’ :28)
2) Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w, beliau bersabda:
“ Kedua pihak yang berjual beli tidak boleh berpisah kecuali setelah adanya kerelaan di antara keduanya.”(Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
3) Sabda Rasulullah s.a.w yang bemaksud:
“ Jual beli itu dikira sah setelah adanya kerelaan. Tanda adanya kerelaan di antara kedua pihak tersebut adalah adanya ijab dan qabul.”(Riwayat Ibnu Hibbah dan Ibnu Majjah)

Jika dirujuk kepada kitab-kitab agama di dalam bahasa Arab, definisi aqad dari segi bahasa Arab adalah simpulan atau ikatan. Iaitu seperti menyimpulkan di antara dua hujung tali untuk membuat satu ikatan. Manakala dari segi istilah syarak atau perundangan islam pula, aqad ialah suatu ikatan atau persetujuan yang berlaku diantara pihak pertama dan pihak kedua melalui ijab dan qabul dimana ia akan melahirkan kesan undang-undang dan hak pada kontrak berkenaan.

Tujuan syariat Islam mengadakan akad ialah untuk melahirkan dan menjelaskan kerelaan diantara kedua belah pihak yang melakukan kontrak bekenaan serta bersedia menerima implikasinya. Implikasi kontrak ialah sesuatu yang mengikat diantara kedua pihak yang telibat berdasarkan apa yang dikontrakkan. Oleh yang demikian setiap perkataan atau tulisan atau syarat yang digunakan hendaklah memberi faham bahawa jual beli berkenaan telah dilaksanakan seperti adanya majlis akad atau dengan menggunakan perkataan “saya jual” atau “saya beli” dan perkataan yang seumpamanya yang mempunyai erti jual beli. Dengan adanya majlis akad, terjadilah secara rasmi satu ikatan kontrak yang sah diantara kedua pihak yang terlibat. Ikatan ini akan memberi pelindungan dan jaminan kepada pihak yang terlibat.

Syarat Ijab dan Qabul.
Ijab (tawaran) merupakan peringkat pertama dalam membuat kontrak. Ia adalah percakapan pertama yang keluar daipada salah satu pihak yang berkontrak. Ia menunjukkan adanya kerelaan dalam penawaran yang dibuat itu. Ia juga bermaksud apa yang lahir dai pihak pertama atau penjual sama ada ia diucapkan telebih dahulu atau terkemudian walaupun secara lazimnya ijab itu mestilah yang terawal kemudia baru diikuti dengan qabul. Penerimaan pula merupakan peringkat kedua dalam membuat kontrak. Penawaran dan penerimaan boleh dilakukan dengan beberapa cara iaitu :
1) Dilakukan secara lisan.
Ijab dan qabul jenis ini hendaklah dilakukan dalam satu majlis. Walaupun sah dibuat secara lisan tetapi Islam menggalakkan akad tersebut direkod secara tulisan.
2) Ijab dan qabul boleh dilakukan secara bertulis.
Ijab ini berkuatkuasa sebaik sahaja surat itu meninggalkan orang yang membuat tawaan dan sah sehingga diterima oleh penerimanya. Tawaran mesti dijawab dengan segera.

3) Ijab dan qabul boleh dibuat melalui pesanan.
Pesanan ini dihantar melalui seseorang wakil yang boleh dipercayai. Bagi mereka yang tidak diragui kejujurannya dan tawaran itu diterima. Penerimaan itu menjadi sah. Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali berpendapat bahawa tawaran mesti dibuat oleh tuan punya harta dengan
harga yang ditetapkan tetapi mazhab Hanafi berpendapat bahawa tawaran itu boleh dibuat oleh salah satu daripada dua pihak tersebut.

4) Ijab dan qabul boleh dibuat melalui isyarat dan gerakan tangan.
Perkara ini sering berlaku terutamanya jika orang yang membuat ijab itu bisu dan tuli atau penerima tidak faham bahawa seseorang membuat tawaran. Mazhab Maliki berpendapat bahawa tawaran secara isyarat adalah sah hukumnya walaupun dibuat oleh orang yang tidak cacat kerana apa yang penting ialah orang yang membuat tawaran hendaklah memaklumkan
tentang tawaran itu kepada pihak kedua dan pihak kedua pula faham akan isyarat tersebut.

5) Ijab dan qabul boleh dibuat secara perbuatan.
Tawaran yang dibuat melalui hantar-serah barangan adalah sah terutamanya
akad jual beli bagi barangan murah dan tidak mudah berlaku penipuan seperti menggunakan mesin, kad ATM dan lain-lain.

Followers

.: Alunan Sufi :.