AR-RAHNU: PERANAN DAN CABARAN MASA KINI.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Muamalat) IKIP_UUM
Muslimin/muslimat yang dirahmati...
Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu ditubuhkan atas dasar Fardhu Kifayah dan bukan atas dasar keuntungan semata-mata oleh pelaksanaannya. Antara tujuan utamanya ialah untuk menghapuskan riba atau hasil bunga (faedah) dan gharar yang dikenakan oleh pengusaha kedai pajak gadai secara konvensional. Walaupun menurut Akta Pajak Gadai 1972, had maksimum caj faedah bulanan adalah sebanyak 2.5 peratus, namun secara realitinya, jumlah yang dikenakan ialah sekitar tiga hingga empat peratus sebulan.
Skim ini memberikan kemudahan alternatif kepada kemudahan pinjaman yang sedia ada di samping memberi pilihan kepada peminjam untuk menuruti kehendak dan hukum Syariah.
Skim ini beroperasi dengan memberi pinjaman ihsan sementara kepada yang memerlukan, dengan cagaran atau barang sandaran yang dinamakan ‘marhun’. Di dalam konsep ini, sesuatu barang yang berharga dijadikan sebagai cagaran yang terikat dengan hutang. Secara ringkasnya, sekiranya hutang tersebut tidak dijelaskan, maka ‘marhun’ itu tadi boleh digunakan untuk menjelaskan baki hutang tersebut.
Tujuan ‘marhun’ ini ialah untuk meyakinkan tuan punya hutang/pemiutang bahawa risiko pembayaran semula hutang tadi dapat dikurangkan. Sementara di pihak penghutang, mereka ini tidak perlu menanggung beban pembayaran semula yang tinggi, sebaliknya jalan penyelesaian terbaik telahpun dipersetujui.
Bagi hutang tadi pula, skim ini melaksanakan prinsip Al-Qardhul Hasan (bantuan ihsan), iaitu pinjaman tanpa faedah yang lebih bersifat kepada sikap tolong menolong dan bantu membantu sesama Islam.
Sementara prinsip Al-Wadiah pula ialah akad di antara tuan punya barang dengan pihak yang menyimpan barang gadaian tersebut.
Atas dasar Al-Wadiah inilah, skim ini akan mengenakan bayaran upah simpan selamat (safe custody fee) ke atas barang gadaian tadi. Secara ringkasnya, skim ini tidak akan mengenakan faedah kepada pinjaman tetapi hanya mengambil upah untuk menyimpan dengan selamat ke atas barang gadaian.
Menurut perspektif Islam, skim ini memenuhi ciri-ciri berikut:
Bebas dari unsur-unsur riba, selari dengan kehendak dan hukum Islam.
Ianya berkonsepkan fardhu kifayah; iaitu membantu sesama umat yang memerlukan pertolongan.
Meletakkan tanggungjawab sosial ke atas peminjam dan pemberi
pinjaman yang mana ianya hanya menggunakan konsep upah perniagaan yang dibenarkan oleh Syarak.
Paduan yang syumul antara sifat-sifat komersil dan amal jariah; adil dan tidak membebankan peminjam.
Meningkatkan sikap amanah kepada pengusaha; menyimpan barang gadaian tersebut dengan baik.
Transaksi perniagaan yang lebih telus; bersandarkan kepada harga semasa barang gadaian (kebiasaannya barang gadaian ialah emas).
Sementara dari perspektif pergerakan badan koperasi pula, Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu ini memenuhi ciri-ciri berikut:
Mempelbagaikan aktiviti perniagaan, yang mana ianya boleh mendatangkan pulangan yang baik ke atas pelaburan yang dibuat oleh koperasi.
Mengurangkan risiko hutang tidak berbayar (NPL) kerana semua hutang yang diberikan adalah terjamin.
Memecahkan monopoli pajak gadai konvensional yang biasanya membebankan para penggadai yang memerlukan wang.
Memberi pilihan pinjaman yang bebas riba’ kepada semua anggota koperasi khasnya dan umat Islam, amnya.
Membantu mereka yang terdesak atau memerlukan dengan memberikan pinjaman yang lebih mudah urusan transaksinya.
Meningkatkan keperibadian yang baik kepada pengusahanya; dari segi sifat amanah, jujur, telus, kemahiran dalam keilmuan dan pengurusan dan sebagainya.
Permasalahan, had atau batasan.
Secara keseluruhannya, pentadbiran dan pengurusan perlaksanaan skim ini memerlukan hala tuju yang selari dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh hukum syarak khususnya dan undang-undang awam atau pihak berwajib, amnya. Ini kerana perlaksanaan skim gadaian memerlukan pemantauan yang meluas terutamanya dari segi kewangan yang mana ianya melibatkan barangan gadaian (emas) dan juga tunai.
Pemilihan aset atau barangan gadaian. Ini meliputi penyenaraian jenis aset yang boleh digadaikan. Apakah hanya terhad kepada emas? Bagaimana dengan aset lain yang mempunyai harga di pasaran? Contohnya tanah, rumah, sijil-sijil saham, sijil-sijil pelaburan?
Penilaian aset yang terdedah kepada kemeruapan, contohnya emas, yang mana ini akan menimbulkan sedikit masalah dari segi operasi sekiranya kakitangan yang ditugaskan tidak cukup kemahiran dan latihan. Kualiti emas, rupa bentuk dan sifat fizikalnya juga memainkan peranan dalam urusan penggadaian.
Adakah caj marhun yang dikenakan, jumlah pinjaman dan tempoh pinjaman yang diberikan kepada penggadai adalah sama? Proses ini memerlukan pertimbangan yang adil dan sewajarnya dari pihak pengurusan terutamanya Pengurus Operasi.
Semua permasalahan, had dan batasan ini hendaklah dikaji, diteliti dan diperhalusi sebelum Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu dapat dilaksanakan dengan seadilnya; baik kepada pemberi pinjaman, penggadai, masyarakat dan mereka yang berkaitan.
Namun begitu, untuk renungan bersama, permasalahan, had dan batasan di atas hanyalah sebahagian dari rangka kerja dan rangka operasi skim ini. Ianya hanya panduan kecil sebelum perlaksanaan skim ini dipertimbangkan.
AR- RAHNU menembusi koperasi dunia.
AR-RAHNU adalah salah satu produk baru koperasi bagi menyediakan pinjaman kecil atau peribadi kepada anggotanya. Ia merupakan produk Islam yang berdasarkan kepada upah menyimpan barang cagaran (al-Marhun) ke atas pinjaman Qardul Hasan yang dipinjamkan. Berbeza dengan pinjaman peribadi konvensional yang cajnya berdasarkan kepada interest dengan peratusan tertentu ke atas jumlah pinjaman yang diberi, juga berbeza dengan pinjaman peribadi Islam yang berasaskan kepada keuntungan jual beli yang dilakukan secara Bai’al-Inah.
Ar-Rahnu telah diterima dengan luasnya di Malaysia terutama di kalangan koperasi yang dikecualikan oleh Akta Pajak Gadai 1972 daripada memiliki lesen untuk menjalankan aktiviti tersebut. Ia hanya memerlukan persetujuan Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) dan memaklumkan kepada pihak berkuasa kerajaan tempatan. Statistik daripada JPK mencatatkan 204, koperasi yang melakukan aktiviti Ar-Rahnu di samping 106 cawangan Bank Rakyat.
Ar-Rahnu adalah produk Islam yang hybric (gabungan beberapa mekanisma kontrak) yang melibatkan beberapa mekanisma kontrak Islam iaitu Qardul Hasan (pinjaman tanpa faedah), Rahnu (cagaran), Wadiah (simpanan) dan Ujrah (upah menyimpan). Ia mempunyai kekuatan tersendiri yang menjadikannya mudah diterima dalam masyarakat.
Pertama : Ia merupakan produk yang memenuhi syariah (syariah compliant) yang bebas daripada interest (riba), gharar (penipuan) dan maisir (perjudian).
Kedua : Secara bandingan dengan produk pinjaman peribadi lain yang ditawarkan oleh koperasi, Ar-Rahnu lebih mendekati prinsip koperasi yang bermula dengan galakan menabung (menyimpan) oleh anggota dan kemudian wang tabungan tersebut diberi pinjaman kepada anggota yang memerlukan. Memiliki emas untuk tujuan cagaran adalah sebagai penabungan dan ia akan digunakan bagi melunas hutang jika tidak mampu melunasnya pada tempoh yang ditetapkan.
Ketiga : Risikonya adalah terlalu kecil dibandingkan dengan pinjaman peribadi atau microfinance lain kerana pinjaman yang diberi adalah disandarkan kepada barang gadaian (marhun) yang merupakan emas dan jumlah hutang yang diberi hanya di antara 50 peratus hingga 70 peratus daripada nilai emas yang dicagarkan.
Keempat : Ia lebih baik daripada pesaingnya iaitu pajak gadai konvensional dari beberapa aspek seperti bebas daripada riba (interest) yang dilarang oleh Islam, bayaran perkhidmatannya lebih murah, tidak ada penipuan dan mendapat kembali lebihan (baki) setelah ditolak hutang jika perlelongan terpaksa dibuat.
Kelima : Untuk melaksanakannya hanya memerlukan pejabat yang dilengkapi dengan peti besi bagi menyimpan emas yang dicagar dan seorang pegawai yang berupaya menilai ketulenan emas dan beratnya. Walau bagaimanapun sekarang ini ia dibantu dengan alat yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut.
Sesuai dengan tema Persidangan Antarabangsa ICA (International Co-operative Alliance) tahun ini yang berbunyi Microfinance Is Our Business, maka Malaysia mengemukakan Ar-Rahnu sebagai produk microfinance daripada Malaysia dengan tajuk “Ar-Rahnu : A New Era In Microfinance In Malaysia” yang dibentangkan oleh penulis di Cartagena, Colombia baru-baru ini. Ia diterima baik oleh perwakilan seluruh negara yang terdiri daripada Asia, Eropah, Afrika dan Amerika. Ia dilihat sebagai suatu produk yang unik kerana asas caj yang dikenakan berdasarkan kepada upah menyimpan cagaran yang berbeza dengan semua produk microfinance lain yang cajnya berdasarkan interest ke atas pinjaman yang diberi.
Inilah julung kali produk koperasi berasaskan mekanisma Islam dibentangkan di persidangan koperasi peringkat antarabangsa. Melalui produk ini telah membuka lembaran baru bahawa koperasi telah menerimapakai sistem kewangan Islam selari dengan perubahan yang berlaku dalam industri perbankan dan insurans di mana perbankan Islam (Islamic Banking) dan takaful (Islamic Insurance) telah diterima-pakai di seluruh negara-negara Islam di dunia. Kita yakin Ar-Rahnu lambat-laun akan turut berkembang seiring dengan perkembangan perbankan Islam dan takaful.
Kesimpulannya, semoga dengan adanya Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu ini, ia dapat memberi pilihan kepada masyarakat Islam, amnya dan anggota-anggota koperasi, khususnya dalam mengatasi masalah kewangan. Dengan ini, mereka yang memerlukan pinjaman segera tidak lagi terbelenggu dengan sistem pajak gadai sedia ada konvensional yang lebih bersifat menekan dan menindas. Selain dari itu, kemudahan ini selaras dengan dasar dan prinsip perjalanan sistem berkoperasi; tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain.
AR-RAHNU: PERANAN DAN CABARAN MASA KINI.
By : Nazril Hafiz Bin Ahmad Afifi
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Muamalat) IKIP_UUM
Muslimin/muslimat yang dirahmati...
Ar-Rahnu menggabungkan dua konsep syariah yang utama iaitu Ar-Rahnu dan Al-Wadiah Yad Dhamanah :
Ar-Rahnu merujuk kepada mekanisme di mana suatu barang berharga dijadikan sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya, sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan.
Al-Wadiah Yad Dhamanah merujuk kepada simpanan barang berharga dengan jaminan. Setiap simpanan akan dikenakan upah simpan.
Penggadai atau orang yang menggadai; iaitu orang yang berhutang.
Penerima gadaian atau pemegang gadai; iaitu pihak yang memberi pinjaman.
Barang gadaian; iaitu barang yang berharga yang dipunyai dan dalam kawalan penerima pinjaman.
Tanggungan gadaian; iaitu jumlah yang berhutang.
Sighah atau perjanjian; iaitu perjanjian berkaitan pinjaman/ hutang dan gadaian.
Kelebihan AR-RAHNU dibanding Pajak Gadai Konvensional.
Antara Senario masa kini yang wujud di dalam penawaran perkhidmatan kewangan (pinjaman mikro kredit) di negara ini :
Terdapat banyak perkhidmatan yang tidak selaras dengan undang-undang dan bercanggah dengan akhlak Islam sedang memenuhi jurang penawaran perkhidmatan kewangan kepada masyarakat dalam kelompok berpendapatan rendah.
Terdapat bilangan yang agak substantial mendapatkan perkhidmatan yang illegal bagi tujuan yang dianggap produktif terutamanya bagi keperluan perniagaan. Keadaan ini wujud di sebabkan oleh masih terdapat jurang yang agak ketara di antara penawaran perkhidmatan kewangan (khususnya secara Islam).
Pada umumnya skim-skim pinjaman yang illegal ini mengenakan caj yang terlalu tinggi, berlaku manipulasi dalam urusan emas dan terdapat kes immoral.
Antara kelebihan Ar-Rahnu berbanding Pajak Gadai Konvensional ialah:
Tidak Mengenakan Kadar Faedah (Unsur Riba)
Perbezaan utama antara Ar-Rahn dan Pajak Gadai Konvensional adalah pada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Dalam perjanjian Ar-Rahn, pinjaman yang diberi tidak dikenakan faedah (interest) iaitu riba di mana riba diharamkan oleh Islam, berbanding Pajak Gadai Konvensional yang menjadikan faedah sebagai sumber hasil kepada pemberi pinjaman dan ianya diharamkan oleh Islam.
Nilai Gadaian Tidak Merosot
Nilai gadaian bagi barang yang ingin ditebus semula tidak merosot dan tidak berubah serta tidak berlaku penyelewengan. Tidak berlaku sebarang masalah di mana barang kemas seperti rantai emas apabila ditebus didapati kurang berat atau pendek sedikit daripada sebelum digadai.
Wang Lebih Gadaian Dipulangkan
Sekiranya pemberi gadaian tidak berkemampuan membayar balik hutang yang ditanggungnya apabila tamat tempoh perjanjian, pemberi gadaian akan diberitahu atau dimaklumkan tentang barang gadaian yang terpaksa dijual. Sekiranya harga jualan melebihi baki hutangnya, lebihan tersebut akan dikembalikan. Ini berlaku kerana nilai pinjaman adalah jauh lebih rendah dari nilai barang gadaian.
Barang Kemas Yang Disimpan Selamat
Semua barang kemas yang disimpan dalam skim tersebut adalah selamat. Di mana, penerima gadaian akan menjamin pemeliharaan dan bertanggungjawab ke atas barangan kemas yang diberi oleh pemberi gadaian. Dengan ini, pemberi gadaian tidak perlu risau dengan masalah pemeliharaan dan penjagaan barang kemas mereka sepanjang ia berada di pihak penerima gadaian.
Caj perkhidmatan Yang Rendah
Ar-Rahn menawarkan caj perkhidmatan yang rendah. Semua pengurusan di Ar-Rahn melibatkan kos dan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan Pajak Gadai Konvensional. Pajak Gadai Konvisional menawarkan caj perkhidmatan yang tinggi dan ada juga sebilangan pemegang atau tauke Pajak Gadai Konvensional yang menerima atau meminta wang pendahuluan dari penggadai walaupun akta melarang kegiatan tersebut.
Tiada Unsur Penipuan Semasa Membuat Timbangan.
Pemberi gadaian juga tidak perlu risau dengan penipuan-penipuan yang sering berlaku semasa timbangan dibuat. Ini kerana, dalam Ar-Rahnu tidak akan berlaku sebarang unsur penipuan semasa timbangan dibuat dan nilai timbangan yang jelas akan ditunjukkan kepada pemberi gadaian.
Tempoh Membayar Balik Yang Munasabah
Ar-Rahnu juga merupakan sebuah Pajak Gadai Islam yang boleh bertolak ansur dengan pelanggannnya berkaitan dengan tempoh membayar balik wang pinjaman yang telah dipinjam. Tempoh membayar balik yang dikenakan adalah munasabah dan boleh diterima pakai oleh semua pihak. Tidak seperti sesetengah Pajak Gadai Konvensional yang kadangkala meminta wang tambahan daripada pemberi gadaian sekiranya pemberi gadaian ingin melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman mereka.
Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu: Konsep Dan Perlaksanaannya.
DI BAWAH Seksyen 46, Akta 81–Akta Pemegang Pajak Gadai 1972, ianya menyebut bahawa organisasi berikut adakah dikecualikan daripada peruntukan Akta ini, iaitu :
Sebuah bank yang diberi lesen untuk menjalankan perniagaan bank di Persekutuan;
Bank Pertanian Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Bank Pertanian Malaysia 1969; dan
Sebuah syarikat kerjasama yang didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuatkuasa di Persekutuan berhubung dengan syarikat kerjasama.
Sehubungan dengan Akta di atas maka wujudlah satu peluang baru yang selaras dengan tuntutan Islam yang mana ianya dinamakan Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu. Skim ini juga merupakan rentetan dari perlaksanaan Syariah dalam sistem perbankan pada awal 1983.
Ianya telah dilaksanakan buat pertama kalinya oleh Majlis Agama Islam Terengganu pada 23 Januari 1993 dengan dikenali sebagai Muassasah Gadaian Islam Terengganu.
Perlaksanaannya yang memenuhi kehendak Syariah Islam telah menarik minat Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan (PKNK). Melalui anak syarikatnya iaitu Permodalan Kelantan Berhad (PKB) ia telah mewujudkan ‘Kedai Ar-Rahn’ yang mula beroperasi pada Mac 1992.
Dari segi perlaksanaan yang lebih meluas, Bank Kerjasama Rakyat dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) telah memperkenalkan skim ini kepada masyarakat umum. Perlaksanaannya mendapat kerja-sama sepenuhnya dari Bank Negara Malaysia yang turut bertindak sebagai badan kawal selia kerajaan.
Sambutan yang baik dan menggalakkan daripada pelbagai golongan telah memberi peluang kepada YPEIM untuk menjadi pelopor yang berdaya saing. Fasa seterusnya dijalankan dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Pertanian Malaysia (BPM). Sungguhpun begitu, perlaksanaan skim ini di semua institusi kewangan adalah sama kerana hukum Syariah dijadikan landasan dan panduan.
Memandangkan skim ini berdaya maju dan memenuhi kehendak dan hukum Syariah, beberapa badan pergerakan koperasi dan kerajaan negeri telah mula menceburkan diri ke dalam bidang ini. Kerajaan Perlis, sebagai contoh, telah menubuhkan Pajak Gadai Islam pada Januari 1997.
Antara badan pergerakan koperasi yang terawal dalam perlaksanaan skim ini ialah Koperasi Pengguna Pahang Berhad, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad dan Koperasi Kakitangan Kerajaan Dan Badan-Badan Berkanun Terengganu (KOKANUN).
Sebagai contoh, KOKANUN telah mewujudkan Muassasah Gadaian Islam (Ar-Rahnu) KOKANUN atau 2001. Ianya telah mula beroperasi pada tarikh yang sama setelah mendapat mandat daripada anggota-anggotanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan KOKANUN Kali Ke-31 pada 17 Jun 2000.
Namun begitu, secara praktikal-nya, menurut perangkaan oleh Bank Negara Malaysia, nilai pajak gadai Islam hanya merangkumi 15 peratus dari pasaran pajak gadai sedia ada, manakala nilai pinjaman yang ditawarkan hanyalah RM275 juta berbanding dengan jumlah nilai pinjaman sedia ada iaitu RM1.5 bilion.
