peranan dan cabaran Lembaga Tabung Haji

Monday, February 22, 2010
by Norhidayah Maskun (hidayah)
Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Muamalat) IKIP_UUM

Peranan Lembaga Tabung Haji
sumber Wikipedia Bahasa Melayu

Bangunan Tabung Haji Malaysia


Tabung Haji ialah singkatan bagi 'Lembaga Urusan dan Tabung Haji' (LUTH) Malaysia yang peranan asalnya menguruskan perjalanan jemaah haji dari Malaysia pergi ke Mekah setiap tahun. Bangunan pejabat utama Tabung Haji terletak di Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur, Malaysia. Tabung Haji merupakan institusi kewangan yang terbukti berkesan menguruskan perbelanjaan pergi dan balik dari Mekah. Rakyat Malaysia tidak perlu lagi bimbang dengan sistem bank konvensional yang riba dan tidak perlu lagi bergolok-gadai tanah sawah untuk pergi ke Mekah.

Tujuan Tabung Haji
• Membolehkan orang-orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardhu haji atau lain-lain perbelanjaan bermanfaat.
• Membolehkan orang-orang Islam melalui wang simpanan mereka mengambil bahagian yang lebih berkesan di bidang penanaman modal melalui cara yang halal di sisi Islam.
• Memberi perlindungan, pengawalan dan kebajikan kepada jemaah haji yang menunaikan fardhu haji dengan menadakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan.

Berasaskan kepada tujuan-tujuan itu Tabung Haji telah menetapkan matlamatnya iaitu memberi perkhidmatan yang baik, sempurna dan amat memuaskan kepada jemaah haji Malaysia dalam urusan menunaikan fardhu haji iaitu memberi keuntungan yang maksimum kepada pendeposit-pendeposit atas wang simpanan mereka.

Kenyataan ini adalah jelas menunujukkan bahawa Tabung Haji ditubuhkan bukan sahaja untuk menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci, malah ia juga berfungsi sebagai suatu badan alternatif kepada umat Islam Malaysia untuk menyimpan wang sambil melabur secara halal dan mengikut lunas-lunas Islam.

Sebagai sebuah badan yang berunsurkan korporat Tabung Haji amat peka dengan perkembangan dan perubahan yang melanda dunia di era 90an. Demi menjamin kesinambungan daya saingnya dalam era globalisasi satu kajian telah dibuat dalam tahun 1995 bagi meluaskan lagi skop dan peranan Tabung Haji. Dari itu, pada 1 Jun 1995 akta baru Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dikuatkuasakan yang memansuhkan akta lama dan nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997, dan serentak dengan itu huruf TH diperkenalkan sebagai singkatan nama menggantikan perkataan Tabung Haji.



Cabaran Tabung Haji masa kini.
Tabung Haji Sediakan Makanan Kepada Jemaah Haji
sumber Oleh Ahmad Kamil Tahir

MEKAH, 7 Nov (Bernama) - Tabung Haji menyediakan makanan kepada 26,000 jemaah haji Malaysia sepanjang musim haji tahun ini dalam usaha menentukan mereka mendapat makanan yang bersih dan berkhasiat sepanjang tempoh berada di tanah suci.

Jurucakap Tabung Haji berkata untuk tujuan itu pihaknya menyediakan hampir 190,000 kg bahan mentah seperti ikan, daging, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya di mana proses penyediaan makanan dikendalikan oleh dua anak syarikat Tabung Haji iaitu TH Global Services Sdn Bhd dan Tabung Haji Travel.

Menurut jurucakap itu lagi makanan yang disediakan ialah bagi makan tengahari dan makan malam dan ianya diedarkan secara terus kepada semua jemaah haji di tempat penginapan masing-masing.

Tinjauan petugas media Tabung Haji di salah sebuah dapur di Burj Abbas yang dikendalikan oleh TH Global mendapati proses penyediaan makanan dikawal ketat dari segi mutu penyediaan serta pembungkusan dan setiap bungkusan makanan ditentukan sampai kepada jemaah haji dalam tempoh tidak lebih dua jam daripada masa ianya disediakan.

Ketua Pegawai Operasi TH Global Datuk Yasmin Mohd Yazid berkata proses memasak makanan dilakukan oleh tiga tukang masak dengan diawasi seorang ketua tukang masak di mana mereka dipilih dari kalangan tukang masak dari hotel bertaraf lima bintang di tanah air.

"Proses penyediaan bahan mentah mengambil masa dua jam, manakala masing-masing dua jam lagi bagi proses memasak dan pembungkusan sebelum ianya diedarkan ke 10 tempatan penginapan jemaah haji atau Maktab Tabung Haji di Mekah," katanya.

Dari segi kualiti makanan pula Yasmin berkata ianya dipantau dari masa ke semasa oleh pihak Tabung Haji manakala penggunaan bahan mentah juga adalah mengikut spesifikasi yang ditentukan pihak Tabung Haji.

Beliau berkata makanan yang telah siap dibungkus menggunakan bekas 'aluminium foil' yang boleh mengekalkan tahap kepanasan makanan sehingga dua jam dan setiap hidangan ditentukan mempunyai khasiat yang cukup dari segi karbohidrat, protin, vitamin dan serat.

Sementara itu, ketua tukang masak Basir Hamid, 38, berkata cabaran utama dalam penyediaan makanan bagi jemaah haji ialah bagi memenuhi citarasa setiap jemaah haji kerana mereka berasal dari negeri dan latarbelakang yang berbeza.

"Sebagai contoh jemaah haji dari negeri Utara Semenanjung suka lauk kari, jemaah haji dari negeri Selatan Semenanjung pula suka lauk asam pedas manakala jemaah haji dari Pantai Timur suka kepada lauk yang agak manis.

"Justeri kami mengambil jalan tengah dengan menyediakan menu yang berbeza setiap hari dan pertukaran menu dilakukan setiap dua minggu sekali," katanya.

Mengenai bahan mentah serta rempah ratus pula, beliau berkata ianya tidak menjadi masalah kerana kebanyakannya boleh didapati di Arab Saudi.

-- BERNAMA


Temubual eksklusif
Sumber- bulletin Tabung Haji Edisi 1/2009

Selama hampir setahun lebih, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari bin Mohamed Nor telah ber¬sama-sama Lembaga Tabung Haji setelah tamat perkhidmatan beliau di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Penglibatan aktif Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari bin Mohamed Nor dalam meng¬gerakkan TH menjadi sebuah institusi tabungan Islam yang berdaya maju dalam semua bidang yang diceburi amat dihargai.
Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari mencer¬itakan apa yang beliau lihat sebaik sahaja menjejakkan kaki ke TH dan menyatakan hasrat beliau dan seluruh umat Islam di Ma¬laysia amnya dan khususnya pendeposit Tabung Haji bagi melihat kecemerlangan yang berterusan TH sebagai institusi ulung yang mendapat pengiktirafan dunia.
“Banyak negara-negara Islam meminta bantuan dan kepakaran kita bagi menubuhkan sebuah institusi yang serupa di negara mereka”
“Sudah tentu bahawa hasil usaha Tabung Haji akan dapat ditambahbaik dan dice-merlangkan dari semasa ke semasa dengan menambahkan nilai tabungan dan juga memainkan peranan sebagai sebuah intitusi ulung di peringkat dunia,”
kata Tan Sri ketika diwawancara oleh wartawan HAKKK.

HAKKK : Setelah setahun lebih Tan Sri berkhidmat bersama TH dan pelbagai pengalaman telah Tan Sri lalui selama tempoh tersebut. Secara keseluru¬hannya, apa dan bagaimana Tan Sri melihat TH se¬bagai sebuah entiti korporat di Malaysia?

Tan Sri : Secara keseluruhan saya melihat TH sebagai sebuah institusi tunggal yang memberikan perkhidmatan haji semasa musim haji. Kita semua memahami bahawa TH bukan sahaja institusi Is¬lam untuk perkhidmatan haji tetapi juga sebagai sebuah organisasi untuk menambah nilai tabungan jemaah haji. Sebagai usaha untuk menambah nilai tabungan pendeposit, TH telah meluaskan peng¬libatan di dalam pelbagai sektor seperti perladan¬gan dan pasaran ekuiti. Secara peribadi saya amat gembira dengan keupayaan yang dimiliki oleh TH ketika ini. Kemajuan yang dicapai oleh TH mencer¬minkan prestasi profesionalisme anggota TH. Dari segi imej korporat, pencapaian TH amat membang¬gakan. Malah kita boleh nyatakan di sini bahawa TH adalah sebuah institusi ulung yang dikendalikan oleh melayu Islam yang berjaya dalam bidang-bidang ekonomi. Ia dapat diterjemahkan menerusi pengikti¬rafan dunia kepada TH dan juga pujian-pujian dari¬pada delegasi dan diplomat luar kepada TH.

HAKKK : Tan Sri ada menyatakan bahawa pen¬capaian TH berada pada tahap yang membang-gakan. Apakah harapan Tan Sri bagi melihat kesin¬ambungan dan keterusan kecemerlangan ini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan?

Tan Sri : Saya yakin bahawa hasil usaha TH akan dapat dicemerlangkan lagi melalui usaha-usaha tam¬bah nilai tabungan pendeposit dan peranan yang dimainkan sebagai sebuah institusi ulung. Harus di¬ingatkan bahawa matlamat utama (core business) kita adalah untuk memberikan perkhidmatan haji yang terbaik. Banyak negara-negara Islam meminta bantuan dan kepakaran kita bagi menubuhkan se¬buah institusi yang serupa di negara mereka. Saya juga melihat keupayaan TH untuk menjadi sebuah organisasi yang mempunyai sektor pelaburan yang meluas (diversified) dan berkembang tetapi masih lagi mengikut ketetapan syariah. Sebagai con¬toh pelaburan TH menerusi sektor pengeluaran makanan atau halal hub yang berpotensi tinggi un¬tuk diceburi dan menjanjikan pulangan yang amat baik.

HAKKK : Bagaimana Tan Sri melihat cabaran yang bakal dihadapi oleh TH di dalam usaha Tabung Haji untuk menjadi sebuah institusi ulung dan dominan dalam dunia Islam?

Tan Sri : Sebagaimana yang saya nyatakan tadi, matlamat utama kita adalah untuk memberikan perkhidmatan haji yang terbaik. Melalui aktiviti pengendalian haji, kita dijangka akan menghadapi masalah daripada segi penginapan jemaah haji di Mekah dan Madinah pada tahun-tahun yang mendatang berikutan kadar sewa bangunan yang telah meningkat. Namun begitu, beberapa lang¬kah proaktif telah dikenalpasti dan dirancang bagi menghadapi situasi tersebut. Kita sentiasa meli¬hat kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku dan semuanya kita lakukan demi menjaga keba¬jikan jemaah haji Malaysia. Kita juga sedar ketika ini seluruh dunia sedang dilanda krisis kewangan yang meruncing. Ekonomi dunia telah jatuh secara mendadak. Sedikit sebanyak ia memberikan kesan kepada kita dari segi pelaburan. Oleh itu, beberapa langkah dan tindakan telah kita ambil di mana kita berhati-hati di dalam pemilihan portfolio-portfolio pelaburan yang mempunyai risiko ketidaktentuan terutama dalam pasaran saham ekuiti. Walaupun begitu, saya amat yakin dan menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa pengurusan kanan TH mampu untuk meneruskan kelangsungan perniagaannya di dalam situasi ekonomi dunia sekarang.

1 comments:

sharifah said...

salam,adakah pihak tabung haji ada menyediakan gerai2 kecil yang disewakan kepada individu.yang mana membolehkan penyewa menjual makanan panas dan makanan ringan seperti pisang goreng dan kueh mueh,saya berminat jika di beri peluang.

Post a Comment

Followers

.: Alunan Sufi :.